Unit Perkhidmatan Ambulan & Kenderaan


1. PENGENALAN

Perkhidmatan ambulan adalah sebahagian daripada skop EMTS yang merupakan satu bidang kepakaran tersendiri di bawah disiplin perubatan kecemasan akut sama ada disebabkan penyakit atau kecederaan, di dalam situasi luar hospital termasuk perkhidmatan interfasiliti antara hospital daerah dan hospital rujukan berpakar.

Perkhidmatan ini perlu berfungsi sebagai satu unit yang khusus, moden dan relevan dengan keperluan semasa dan setempat. Tadbir urus (governance), penyelarasan dan pemantauan operasi perkhidmatan ini akan dilaksanakan oleh jawatankuasa peringkat negeri dan PTJ melalui kakitangan yang dilantik.

Perkhidmatan ini juga perlu memainkan peranannya sebagai satu elemen utama dalam jaringan perkhidmatan kesihatan komuniti setempat. Responder PHC yang terlatih mampu menyampaikan perawatan kecemasan termasuklah diagnosis awal, resusitasi dan stabiliti di samping intervensi unttuk menyelamatkan nyawa.

Rawatan ini akan berterusan sehingga mangsa dibawa ke fasiliti perubatan termasuklah hospital daerah atau hospital berpakar. PHC perlu bersedia dan mampu memberikan perkhidmatan pengangkutan perubatan secara profesional kepada kategori-kategori berikut :

a. Mangsa trauma atau medikal kategori kritikal
b. Pesakit kanak-kanak
c. Kes kebidanan
d. Pesakit dengan krisis kesihatan Mental
e. Pesakit penyakit berjangkit
f. Keperluan pengangkutan perubatan untuk pesakit stabil, rehabilitasi dan
mobiliti yang perlu dibawa dari satu fasiliti ke fasiliti lain yang lebih kepakaran.
g. Mangsa Insiden Mass Casualty.

2. KENDERAAN AMBULAN

2.1 Ambulan hanya boleh dikendalikan oleh Pemandu Kenderaan Hakiki.

2.2 Pemandu hakiki dan pemandu yang telah diberi Surat Kebenaran Memandu dari JKNS hendaklah memandu kenderaan jabatan untuk urusan rasmi sahaja.

2.3 Pemandu hendaklah melaporkan dengan segera kerosakan / masalah Ambulan kepada Penyelaras Perkhidmatan Ambulan atau Penolong Pegawai Perubatan yang bertugas.

2.4 Semua pergerakan Ambulan adalah di bawah tanggungjawab Penyelaras Perkhidmatan Ambulan yang telah dilantik dan diberi kuasa oleh Pengarah Hospital Ranau.

2.5 Semua borang permohonan perkhidmatan Ambulan ( BOR-UPAK-101 pind.2018 ) hendaklah diisi dan dihantar selewat-lewatnya sehari sebelum tarikh perjalanan untuk kes biasa ke Unit Perkhidmatan Ambulan. Pemandu dan ambulan tidak dibenarkan melakukan pergerakan sehingga menerima borang permohonan perkhidmatan ambulan.

2.6 Penghantaran kes kecemasan akan diberikan keutamaan.

2.7 Perjalanan kes biasa hendaklah ditangguhkan sekiranya jumlah pesakit dalam ambulan melebihi had muatan.

2.8 Pesakit dari luar yang ingin menaiki ambulan bagi tujuan “Review” di mana-mana Hospital di Kota Kinabalu hendaklah mengemukakan surat permohonan kenderaan dari Unit kebajikan Hospital Ranau selewat-lewatnya Dua (2) hari sebelum tarikh perjalanan ( BOR – UPAK – 102). Kelulusan adalah bergantung kepada had muatan selamat dan pergerakan ambulan pada masa tersebut.

2.9 Pemandu adalah bertanggungjawab sepenuhnya menaikkan ataupun menurunkan pesakit menggunakan stretcher. Pengiring pesakit tidak dibenarkan melaksanakan tugasan ini bagi mengelakkan pesakit jatuh.

2.10 Pemandu hendaklah mencatatkan bacaan odometer ke dalam Buku Log setiap kali perjalanan.

2.11 Buku Log hendaklah ditandatangani oleh pegawai yang menggunakan sebaik sahaja selesai menggunakan kenderaan tersebut.

2.12 Penyelaras Perkhidmatan Ambulan hendaklah memeriksa Buku Log setiap hari dan laporan hendaklah diberikan kepada Pengarah Hospital Ranau sebulan sekali.

2.13 Pemandu hendaklah memandu Ambulan dengan selamat. Sekiranya kenderaan disaman oleh Polis atau JPJ pemandu yang terlibat hendaklah membayar saman tersebut.

2.14 Orang Awam hendaklah tidak dibenarkan menaiki kenderaan jabatan tanpa mendapat kelulusan daripada Pengarah Hospital Ranau, Penyelaras Perkhidmatan Ambulan atau Penolong Pegawai Perubatan yang diwakilkan.

2.15 Semua Ambulan hendaklah diperiksa setiap pagi dan sebelum setiap pergerakan mengikut senarai semak yang ditetapkan.

2.16 Penolong Pegawai Perubatan yang bertugas hendaklah menyimpan kunci Ambulan semasa luar waktu pejabat, manakala Penyelaras Perkhidmatan Ambulan atau Ketua Unit Kecemasan hendaklah menyimpan kunci Ambulan ketika waktu bekerja. Pergerakan kunci dan penggunaan kad kenderaan hendaklah dicatitkan dalam buku pergerakan.

2.17 Memastikan ambulan sentiasa dalam keadaan yang bersih.

2.18 Kenderaan hendaklah diselenggara oleh pihak konsesi mengikut jadual yang ditetapkan atau mengikut permintaan pengguna.

2.19 Sekiranya kenderaan ini perlu digunakan untuk tujuan selain daripada di atas, kebenaran khas hendaklah diperolehi daripada Pengarah Hospital atau Penyelaras Perkhidmatan Ambulan.

3.0 TUGAS DAN TANGGUNGJAWAB PEMANDU

3.1 Pemandu mestilah kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah yang 
dilantik oleh Jabatan Perkhidmatan Awam.

3.2 Pemandu mestilah mempunyai lesen memandu yang sah dan valid.

3.3 Pemandu hendaklah wajib menjalani pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya setahun sekali atau apabila diperlukan berbuat demikian termasuk pemeriksaan dadah dalam air kencing.

3.4 Mengisi Buku Log kenderaan setiap kali selesai perjalanan.

3.5 Mengisi Buku Log Harian pemandu setiap kali selesai perjalanan dan perlu mendapatkan tandatangan daripada penyelaras.

3.6 Melakukan pemeriksaan kenderaan setiap hari berdasarkan kepada senarai semak sedia ada termasuk keadaan enjin, fizikal serta kebersihan dan peralatan dalam kenderaan. Segera melaporkan kepada penyelia sekiranya terdapat sebarang kerosakan mahupun keperluan untuk penyelenggaraan.

3.7 Sentiasa berpakaian kemas dan bersih.

3.8 Datang berkerja mengikut jadual kerja yang disediakan. Sentiasa bersiap sedia sekiranya diperlukan.

3.9 Sentiasa memastikan kenderaan mempunyai bekalan oksigen yang mencukupi.

3.10 Sentiasa memandu dalam keadaan yang berhemah dan mematuhi tanda peraturan sepanjang jalan. Tidak memandu secara melulu dan laju di jalan raya. Sentiasa mengutamakan keselamatan penumpang setiap masa.

3.11 Sentiasa mengisi minyak kenderaan setiap kali selepas selesai perjalanan. Isi minyak mengikut keperluan yang betul. Tindakan akan diambil terhadap pemandu yang sengaja mengisi minyak secara berlebihan untuk kepentingan peribadi. Catit pengisian minyak ke dalam buku log kenderaan dan simpan resit pembelian ke dalam fail yang disediakan.

3.12 Kunci kenderaan hendaklah disimpan di dalam peti kunci dan dicatit penggunaannya setiap kali digunakan. 

3.13 Pemandu hendaklah mencatit penggunaan kad kenderaan setiap kali diperlukan.

3.14 Pemandu hendaklah sentiasa memaklumkan penyelia setiap kali terdapat permohonan perjalanan.

3.15 Pemandu hendaklah sentiasa memastikan jumlah muatan dalam ambulan tidak melebihi daripada 5 orang sahaja. Sekiranya jumlah penumpang melebihi daripada sepatutnya, perjalanan akan ditunda sehingga kenderaan tidak melebihi penumpang.


4. PROSES KERJA PERKHIDMATAN AMBULAN DAN KENDERAAN

4.1    Pre-Hospital Care
4.2    Penghantaran pesakit ke pusat rujukan
4.2.1 Penghantaran kes kecemasan
4.2.2 Penghantaran kes elektif untuk rawatan pakar
4.2.4 Pengangkutan kakitangan untuk tujuan rasmi
4.3    Interfasiliti pesakit mengikut konsep “cluster Hospital”.
4.4    Permohonan perkhidmatan Ambulan


4.1 Perkhidmatan Ambulan Kecemasan

4.1.1 Armada ambulan akan terdiri dalam bentuk, kuantiti dan fungsi yang membolehkan perkhidmatan Emergency Medical Services (EMS) mencapai semua keperluan perkhidmatan Pre-hospital Care.

4.1.2 Pasukan ambulan diketuai oleh Penolong Pegawai Perubatan yang kompeten serta ambulan yang mempunyai kemudahan dan peralatan yang membolehkan perkhidmatan PHC disampaikan dengan sempurna mengikut standard tersenarai peralatan yang diluluskan oleh jawatankuasa teknikal dari Kementerian Kesihatan Malaysia.

4.1.3 Pasukan ambulan perlu bertindak dalam masa yang ditetapkan selepas notifikasi dispatch mengikut Standard Operating Procedure (SOP) dan Key Performance Indikator (KPI).

4.1.4 Penolong Pegawai Perubatan juga perlu merujuk kepada carta ‘Approach to Patient Care’ dalam pendekatan pemberian rawatan kepada pesakit.

4.1.5 Alternatif lain termasuk outsourcing perlu dilakukan dengan mengambil kira tahap ketenatan pesakit mengikut tatacara kewangan yang sedia ada.

4.1.6 Komunikasi yang berterusan dari pasukan responder dengan Base semasa pengurusan pesakit perlu dilakukan :

4.1.6.1 Base perlu dimaklumkan mengikut format :

a. Kesediaan untuk aktivasi
b. Masa bertolak ke lokasi
c. Masa sampai ke lokasi
d. Masa bersama pesakit
e. Masa bertolak dari lokasi ke hospital dan ETA
f. Masa sampai di hospital / base

4.1.6.2 Responder perlu :

a. Memberi maklumat tentang bilangan mangsa dan
hazard dilokasi kejadian.
b. Ketenatan Mangsa
c. Perawatan Mangsa
d. Merujuk kepada base jika ada keperluan medical
direction, keperluan sub kepakaran dan
perkhidmatan lain.

4.1.7 Paskukan responder perlu melakukan dokumentasi bagi setiap kes yang direspon.

4.1.8 Primary response member perkhidmatan :

a. Menyokong operasi pasukan responder KEMENTERIAN
KESIHATAN MALAYSIA yang memerlukan perkhidmatan
ambulan.
b. Melibatkan mangsa yang ramai (MCI) dan bencana.


4.2. PENGHANTARAN KES KECEMASAN / KES ELEKTIF / URUSAN RASMI JABATAN

4.2.1 Kecemasan yang dimaksudkan adalah pesakit yang perlu segera dihantar dan mendapatkan rawatan segera daripada hospital pakar.

4.2.2 Pegawai Perubatan yang bertugas di wad atau unit-unit hendaklah memaklumkan unit pemandu bahawa terdapat pesakit yang perlu dihantar segera ke hospital rujukan.

4.2.3 Kakitangan wad / unit hendaklah menghantar borang permohonan ambulan yang lengkap ke Unit Ambulan Dan Kenderaan agar dapat diproses secepat mungkin.

4.2.4 Hanya pesakit dan pegawai pengiring sahaja yang dibenarkan menaiki ambulan. Pengiring pesakit tidak dibenarkan menaiki ambulan.

4.2.5 Bagi kes elektif dan urusan rasmi jabatan, permohonan adalah tertakluk kepada peraturan sedia ada dengan mengemukakan borang permohonan seperti biasa kepada pegawai kenderaan jabatan dan penyelaras ambulan.

4.3 INTERFASILITI PESAKIT – “CLUSTER HOSPITAL CONCEPT”

4.3.1 Perpindahan pesakit dari satu hospital ke hospital lain adalah tertakluk kepada “Cluster Hospital Concept”. Dimana semua bentuk kepakaran dan kelebihan hospital pakar adalah dikongsi bersama oleh hospital daerah yang lain. Ini termasuklah sumber manusia, kajian dan sebagainya.

4.3.2 Perkhidmatan ambulan juga tidak terkecuali daripada konsep ini, iaitu ambulan dari hospital daerah digunapakai bagi memudahkan perpindahan pesakit ke tempat yang telah dikenalpasti.

4.3.3 Perpindahan pesakit dari hospital rujukan akan dimaklumkan kepada penyelaras perkhidmatan ambulan hospital daerah bagi memindahkan pesakit untuk tujuan pemantauan berterusan bagi pesakit yang memerlukan pemantauan mahupun rawatan lanjut.

4.3.4 Pemakluman ini melalui beberapa kaedah iaitu seperti secara online ( Eiht – intranet QEH2 ), melalui media social whatsapps ( QEH1 ) dan melalui panggilan terus telefon (HWKKS dan QEH).

4.3.5 Setiap pergerakan atau perpindahan pesakit dari hospital rujukan ke hospital daerah hendaklah melengkapkan borang yang disediakan iaitu BOR/UPAK/103 . Borang ini akan disediakan oleh Unit Perkhidmatan Ambulan dan Kenderaan Hospital Ranau.

4.3.6 Kakitangan dari hospital rujukan hendaklah mengisi borang ini bagi tujuan dokumentasi dan keperluan di masa akan datang.

4.4 PERMOHONAN PERKHIDMATAN AMBULAN

4.4.1 Permohonan perkhidmatan ambulan adalah menggunakan BOR/UPAK/101 (pind.2019).

4.4.2 Permohonan perkhidmatan ambulan bagi interfasiliti adalah menggunakan BOR/UPAK/102.

4.4.3 Permohonan perkhidmatan ambulan bagi pesakit dari luar Hospital Ranau menggunakan BOR/UPAK/103.

4.4.4 Semua permohonan hendaklah dihantar ke Unit Perkhidmatan Ambulan dan Kenderaan dengan lengkap mengikut tatacara yang telah ditetapkan.

4.4.5 Semua permohonan adalah berdasarkan kepada keadaan semasa pemandu dan kenderaan yang ada kecuali bagi kes-kes kecemasan.

4.5 PEMERIKSAAN DAN PENYELENGGARAAN AMBULAN

4.5.1 Pemandu wajib melakukan pemeriksaan kenderaan setiap kali
sebelum perjalanan sebelum perjalanan.

4.5.2 Pemeriksaan kenderaan meliputi bahagian enjin kenderaan,
Mekanikal kenderaan, kebersihan luaran dan dalaman kenderaan.

4.5.3 Gunakan senarai semak yang telah disediakan bagi tujuan
Pemeriksaan ini. Sekiranya terdapat sebarang masalah terhadap
pemeriksaan tersebut, catatkan ke dalam ruang catatan dan isi
borang permohonan penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan.

4.5.4 Setelah borang permohonan di isi, maklumkan penyelia untuk
Tindakan permohonan penyelenggaraan kepada pihak konsesi.
Pihak konsesi hendaklah memberikan maklum balas terhadap permohonan yang dikemukakan mengikut perjanjian yang telah ditetapkan.